بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
sabda Nabi Muhammad SAW,
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ, قَالَ النَّبِيُّ (ص) إنَّ أَفْضَلَكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Ertinya : Daripada Usman bin 'Affan RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik di antara kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." -[riwayat Bukhari]
1.KEADAAN PEMBACA
Mengenai keadaan orang yang membaca al-quran itu, hendaklah orang itu berwudhu', tetap dalam keadaan tenang dan dengan penuh kesopanan. Dibolehkan untuknya berdiri atau duduk dan sebaik-baiknya hendaklah menghadap kiblat, menundukkan mukanya, bukanlah duduk bersilang,bersandar atau duduk yang menunjukkan kebongkakan.
2.KADAR BACAAN
Kadar bacaan al-Quran itu terdapat perbezaannya. Para ahli pembaca al-Quran itu mempunyai kebiasaan yang berlainan, mengenai banyak dan sedikitnya bacaan. Yang diterangkan daripada Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas'ud dan Ubay bin Ka'ab RA bahawa mereka sentiasa mengkhatamkan al-Quran sekali setiap hari Jumaat. Al-Quran dibahagikan oleh mereka menjadi tujuh hizib (kumpulan).
3.TARTIL
Ini adalah disunatkan dalam membaca al-Quran, sebab kita akan mengetahui bahawa tujuan daripada bacaan itu adalah untuk direnungkan isinya dan difikirkan maknanya. Membaca secara tartil (tidak tergesa-gesa dan dengan baik) adalah sangat diperlukan untuk itu.
Oleh sebab itu, Ummu Salamah pernah memberikan keterangan mengenai keadaan Rasulullah SAW sewaktu membaca al-Quran. Bacaan Baginda SAW itu bagaikan bacaan yang ditafsirkan, satu huruf demi satu huruf. Ibnu 'Abbas RA berkata: "Sesungguhnya kalau sekiranya saya hanya membaca surah al-Baqarah dan ali-'Imran dengan perlahan-lahan dan tartil serta dapat merenungi segala ertinya, maka yang sedemikian itu adalah lebih baik pada pendapatku daripada saya membaca seluruh al-Quran dengan cara tergesa-gesa dan tidak keruan."
Keterangan yang sebegini memang tepat. Hal ini kerana membaca secara perlahan-lahan dan tenang adalah lebih dekat untuk dinamakan sebagai penghargaan dan pengagungan. Bahkan, lebih memberikan kesan dalam hati dan jiwa daripada bacaan yang tergesa-gesa dan tidak keruan.
4.MENANGIS
Menangis hukumnya sunat sewaktu sedang membaca al-Quran dan boleh menimbulkan perasaan sedih yang disebabkan oleh kandungan yang terdapat dalam al-Quran itu, yang berupa ancaman yang menakutkan dan juga merupakan perjanjian dan ikatan.
Pembaca al-Quran dapat merenung segala kekurangan yang telah dilakukannya dalam mentaati perintah-perintah-Nya. Namun begitu, berlaku sebaliknya kerana mereka sentiasa melanggar larangan-larangan-Nya. Pastilah hal ini akan menimbulkan rasa dukacita dan akhirnya mestilah mereka akan mengalirkan air mata dengan menangis tersedu-sedu.
5.MEMBACA TA'AWUZ
Pada permulaan bacaan hendaklah membaca 'A'udzubillahissami'il 'alim, minasysyaito nirrajim.
Dalam bacaannya, apabila membaca ayat tasbih, hendaklah bertasbih dan bertakbir, apabila membaca ayat-ayat doa dan istighfar (mohon keampunan), hendaklah berdoa dan beristighfar.
Begitu juga sewaktu membaca ayat pengharapan, hendaklah pembaca itu memohon apa yang diharapkan. Jika membaca ayat yang menakutkan, hendaklah mohon perlindungan agar diri pembaca tidak ditimpa oleh perkara tersebut. Kesemuanya itu boleh dilakukan dengan gerakan lisan atau diniatkan di dalam hati.
6.MENJAGA HAK-HAK AYAT
Hendaklah pembaca al-Quran menjaga hak daripada ayat-ayat yang dibacanya. Sekiranya pembaca membaca ayat Sajdah, hendaklah pembaca tersebut sujud. Begitu juga kalau pembaca mendengar ayat itu dibaca oleh orang lain, apabila orang yang membaca itu sujud, sebaik-baiknya pendengar ikut bersujud(solat berjemaah). Ketika sujud itu hendaklah seseorang itu dalam keadaan suci.
Untuk kesempurnaan sujud tilawah ini, ada sebahagian pendapat ulama' mengatakan bahawa hendaklah dimulakan dengan takbir sambil mengangkat kedua-dua tangannya, sebagai takbiratul ihram. Kemudian itu, bertakbir pula untuk turun sujud, seterusnya takbir lagi untuk bangun dan akhirnya memberikan salam.
7.MEMPERLAHANKAN BACAAN
Dapat menghindarkan diri daripada perasaan riak (menunjuk-nunjuk) atau bacaan yang berpura-pura. Hal inilah yang lebih utama dilakukan bagi seseorang yang takut timbul perasaan yang sedemikian itu didalam hatinya.
Sebaliknya, sekiranya pembaca itu percaya bahawa hatinya tidak dipengaruhi oleh perasaan riak atau berpura-pura, maka adalah baik baginya untuk menguatkan suaranya asalkan tidak ada orang yang sedang solat berhampiran dengannya. Hal ini kerana, perbuatannya itu mungkin akan mengganggu solat orang lain. Baca dengan kuat adalah yang sebaik-baiknya dan itulah yang selalu dilakukan.
8.MEMPERBAGUSKAN BACAAN
Memperbaguskan bacaan serta menertibkannya, tetapi jangan memanjangkan pada tempat-tempat yang bukan sepatutnya. Perbuatan tersebut akan merosakkan bacaannya. Memperbagus bacaan yang sedemikian itu adalah sunat. Dalam sebuah hadis ada menyebut,
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ
Ertinya, "Hiasilah al-Quran itu dengan suara-suaramu."
[riwayat Abu Daud, Nasa'i dan lain-lain]
Juga disebutkan dalam hadis yang lain,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ (ص) لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ وَزَادَ غَيْرُهُ يَجْهَرُبِهِ
Ertinya, "Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, Tidak termasuk dalam golongan kami, orang yang tidak memperelok suaranya ketika membaca al-quran dan ditambah oleh yang lainnya dengan kuat."
[riwayat Bukhari dan lain-lain]
Maksud memperbagus disini ialah tidak lagi memerlukan kepada yang selainnya, tetapi lebih dekat dan lebih tepat menurut ahli bahasa ialah melagukan dan mengulang-ulang iramanya.
wallahua'lam.
[rujukan : Kitab Ihya' 'Ulumuddin Al-Imam Al-Ghazali]
No comments:
Post a Comment