Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Dalam agama Islam segala sesuatu yang tidak dilarang, bererti boleh dikerjakan. Tetapi dalam yang boleh dilakukan itu bukan bererti tidak ada batasnya. Maka ditentukan adanya hukum sunat,mubah dan makruh. Bagi orang yang menghendaki kehidupannya selalu mendapat redha Allah ta'ala, tentunya senang memilih yang sunat daripada lainnya. Sebaliknya segala yang dimakruhkan diusahakan supaya dihindari. Sebab makruh walaupun dibolehkan dalam agama, tetapi kalau dapat dihindari akan mendapat pahala dari Allah ta'ala. Sebagai contoh, orang boleh sahaja memakai pakaian apa pun selain sutera (bagi lelaki) di dalam solat. Namun demikian supaya dihindari memakai pakaian yang menyolok dengan gambar dan warna yang beraneka ragam. Sebab yang demikian ini dapat menghilangkan khusyuk dalam solat bagi orang yang melihatnya.
Hidup bergaul dalam masyarakat pun demikian. Segala sesuatu yang berlaku dalam setiap kehidupan asal tidak dilarang boleh dikerjakan. Boleh hidup bermewah-mewah,makan berlebih-lebihan,berpakaian cantik dan berhias diri dengan peralatan yang merangsang. Semuanya itu boleh dilakukan asal tidak melangkah ke batas yang diharamkan.
Tetapi apakah kebolehan itu lantas dijadikan dasar untuk diamalkan tanpa memikirkan akibat-akibat yang bakal ditimbulkannya? Tentu sahaja manusia yang telah diberi akal dalam hidupnya harus boleh menimba untung dan ruginya dalam setiap tingkah lakunya sehari-hari. Disinilah perlu adanya langkah kebijaksanaan. Dalam kehidupan manusia, tidak ada seorangpun yang mempunyai hati yang sama. Bahkan ada juga hati seseorang itu mudah dikuasai oleh hasad dengki, irihati dan sebagainya. Ini kerana, timbulnya penyakit hati yang berbagai-bagai ragam telah membuat seseorang itu mudah ke kancah dosa. Semua itu boleh menimbulkan fitnah. Sedangkan fitnah adalah sumber dari segala bencana.
Untuk bertindak secara bijaksana, kita perlu hidup dalam kesederhanaan dan bersahaja. Hal ini demikian, kita boleh dapat mengetahui bahawa Rasulullah saw juga tidak pernah hidup dalam serba kemewahan yang melimpah ruah. Bahkan, baginda saw hidup dalam berwasatiyyah. Ana ada sebuah kisah yang boleh kita ambil teladan.
Pada suatu hari, para sahabat Rasulullah saw duduk berkumpul pada suatu majlis sambil berbincang-bincang,menceritakan masalah kemewahan dunia. Pada saat mereka sedang bermusyawarah, tiba-tiba Rasulullah saw menghampiri mereka seraya bersabda yang bermaksud;
"Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya sederhana dalam berpakaian adalah sebahagian dari iman. Sesungguhnya sederhana dalam berpakaian adalah sebahagian dari iman." [riwayat Abu Daud]
Hadis di atas begitu jelas,bagaimana Rasulullah saw menilai kesederhanaan itu dalam tata kehidupan manusia. Hidup sederhana adalah sebahagian dari iman, yang harus diamalkan oleh setiap umatnya. Tanpa kesederhanaan kurang sempurna iman seseorang.
Sekiranya Rasulullah saw hendak memakai pakaian yang mewah-mewah,ianya tidak menjadi masalah bagi baginda. Tetapi hal itu tidak baginda saw lakukan. Sebaliknya baginda saw dalam sehari-harinya memakai pakaian yang sederhana, makan apa adanya. Kalau kebetulan pada suatu hari hanya ada cuka, maka cuka itulah yang digunakan lauk-pauknya waktu makan. Demikian pula yang dilakukan oleh sahabat-sahabat baginda saw. Sayidina Umar RA, walaupun dia sebagai seroang khalifah, tetapi perilaku sehari-hari seperti rakyat biasa. Dia lebih senang tidur di bawah pohon kurma bersama-sama tenteranya setelah selesai perang daripada tidur di katil yang empuk lagi terhormat. Amru bin 'As,panglima perang penakluk negeri Mesir, dikagumi tentera Rom kerana kesederhanaannya dalam berpakaian. Hingga hampir-hampir tidak boleh dibezakan siapa yang menjadi pemimpin dan yang dipimpin.
Oleh kerana itu,kesederhanaan hidup yang diamalkan oleh para pemimpinlah yang menyebabkan pengaruh Islam cepat berkembang ke seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment