Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
[~Jom contohi teladan Rasulullah dengan mendengar sirah Anbiya'~]
"Wahai manusia! Allah telah memerintahkan kepadamu supaya menyembah-Nya dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."
Demikian Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk Mekah.
Baginda berkeliling mengunjungi rumah mereka berdakwah secara terang-terang setelah datang perintah dari Allah untuk berbuat sedemikian. Tindakan baginda telah mengoncangkan kaum-kaum musyrikin sehingga apabila Rasulullah mendatangi rumah-rumah orang Mekah maka Abu Lahab akan mengiringinya dari belakang.
"Wahai manusia! Dia ini menyuruh kamu meninggalkan agama nenek-moyangmu." Demikian pula hasutan Abu Lahab yang menggerakkan orang ramai supaya menghalang Nabi Muhammad saw daripada berdakwah.
Maka bermulalah pergolakan yang hebat di kota Mekah.
Pemuda Quraisy berusaha dengan kekasarannya untuk membantutkan fajar Islam yang telah mula menyinar itu. Segala macam usaha dilakukan dari fitnah dan tuduhan-tuduhan liar seperti kena sihir,gila dan mengancam menginjak-menginjak tengkok nabi Muhammad saw sehinggalah mereka merancang hendak membunuh baginda.
"Ajaklah mereka kepada : LA ILAHA ILLALLAH."
Demikian Malaikat Jibrail menekankan kepada Nabi Muhammad saw sehingga tidak seorang manusia pun baginda takuti.
Di tengah-tengah kekalutan ancaman Quraisy itu, Nabi Muhammad saw dapat membawa beberapa orang memeluk Islam. Abu Bakar adalah diantaranya dan bila beliau melihat hamba-hamba yang disiksa segeralah beliau menebus dan memerdekakannya, seperti Bilal dan 'Amir bin Fuhairah.
"Assalamualaikum ya Rasulullah !", salam-salam yang diucapkan oleh batu,kayu dan tanah kepada nabi Muhammad saw sebagai suatu mukjizat.Ke mana juga baginda pergi,maka baginda akan menemui benda (alam benda) ini mengucapkan salam iaitu di saat ramai yang memusuhi baginda atas usaha Abu Jahal,Abu Lahab dan lain-lainnya.
Di tengah-tengah kegelapan Jahiliyah ini, kini muncul cahaya Islam dan ia dinikmati oleh sebilangan orang yang sihat mata hatinya atau orang-orang yang tidak buta hati. Fajar Islam telah mula menyingsing.
Pada satu ketika, bapa saudara Nabi iaitu Abu Thalib melihat baginda dengan Ali bin Thalib sedang solat (zaman sebelum Isra'), beliau merasa hairan kerana perbuatannya berlainan dengan apa yang lazim pada masyarakat Mekah waktu itu.
"Wahai muhammad, agama apakah yang engkau anuti itu?" tanya Abu Thalib kepada anak saudaranya.
"Wahai bapa saudaraku, inilah agama yang diturunkan Allah, agama Malaikat dan Rasul-rasulNya;dan agama nenek kita Ibrahim as. Allah telah mengutuskan anakanda menjadi Rasul kepada hamba-hambaNya."
"Wahai bapa saudaraku, engkau adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku. Aku mengajak kepada petunjuk Allah; paling berhak pula memperkenankan dakwahku dan menolong aku."
Demikian dialog Nabi Muhammad saw menjawab pertanyaan beliau dengan harapan semoga beliau menerima dengan baik.
"Wahai Muhammad! Demi Allah, aku tidak sanggup untuk meninggalkan agama nenek moyangku dan ajaran-ajarannya. Tetapi demi Allah, selama aku hidup, tidak akan sampai kepada engkau apa yang engkau tidak ingini."
Abu Thalib menjawab yang penuh ketegangan rasa dalam hati yang menolak.
Dengan sikap dan jawapan bapa saudaranya itu, sudah tentu menjadi penawar jiwa kepada Nabi Muhammad saw di tengah-tengah keluarga baginda yang memusuhinya dengan keras. Apatah lagi Ali bin Abu Thalib sebagai anak muda yang dapat pula dorongan dari ayahnya. Kepadanya Abu Thalib berpesan supaya sering mendampingi nabi Muhammad saw walaupun beliau sendiri belum terbuka hati mengikutinya.
"Ikutilah dia (Muhammad) selalu selama ini dia mengajak kamu kepada yang baik." Demikian kata anjuran Abu Thalib kepada anaknya Ali.
Dorongan itu sungguh menggembirakan hati Ali dan Nabi Muhammad saw sendiri dan baginda berdoa semoga Abu Thalib sendiri dapat menganuti Islam bersama-sama mereka.
Fajar Islam sudah menyingsing di Kota Mekah dan ini amat mengejutkan Jahiliyah yang dalam kegelapan itu. Makin, hari sinarnya makin bertambah naik menerangkan kehidupan insani. Dalam perjuangan yang penuh cabaran itu, Nabi Muhammad saw mengisi kehidupannya sebagai seorang Rasulullah dan meninggalkan contoh teladan bagi umat-umat yang kemudian.~
(Rujukan buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah saw, halaman 8)
(Rujukan buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah saw, halaman 8)
No comments:
Post a Comment