بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tiap kali kedatangan bulan Rejab, orang-orang Islam akan segera mengingati peristiwa Israk dan Mikraj Nabi s.a.w. Perjalanan malam hari dari Mekah ke Baitul Maqdis (Israk), dan perjalanan naik ke langit (Mikraj) telah membawa cerita-cerita kebesaran Allah. Umumnya kita sudah mengetahui mengenainya.
Pagi hari sekembalinya Nabi dari perjalanan itu, baginda termenung memikirkan apakah reaksi orang ramai di atas berita itu. Seketika baginda duduk itu, Abu Jahal datang menghampiri dan bertanya :
"Ada apa-apa perkhabaran baru?"
"Ada," jawab Nabi s.a.w.
"Khabar apa?" tanya Abu Jahal lagi.
"Malam tadi aku dibawa pergi," jawab Nabi.
"Ke mana?" tanya Abu Jahal, yang mula resah.
"Ke Baitul Maqdis," jawab Nabi.
"Dan sekarang engkau berada di sini?" tanya Abu Jahal melanjutkan perbicaraan mereka dan beliau kelihatan bertambah ghairah untuk lebih mengetahui cerita baru itu. Di hatinya sudah terlintas yang jika cerita ini akan dibawa ke depan ramai orang, sudah pasti Nabi akan diejek kerana cerita yang sangat ajaib itu.
Abu Jahal pun berusaha mengumpulkan ramai orang untuk mendengar cerita Nabi. Maka berceritalah Nabi mengenai perjalanan malam itu. Reaksi mereka berbelah bahagi, ada yang kehairanan, ada yang sekadar bertepuk tangan, ada yang mengejek dan memperli baginda. Dalam pada itu ada pula orang yang telah menyampaikan berita itu kepada Abu Bakar.
"Percayakah engkau?" tanya orang itu.
"Apakah benar ceritanya begitu?" tanya Abu Bakar pula.
"Ya!Benar," jawabnya.
"Kalau benar, maka benarlah segala ceritanya," jawab Abu Bakar tanpa kesangsian lagi. Maka itu Abu Bakar digelar "Siddiq" iaitu yang membenarkan dengan bersungguh-sungguh.
Orang ramai masih berkumpul mendengarkan cerita Nabi s.a.w. itu, dan ada yang bertanyakan untuk membuktikan kebenaran cerita mengenai sifat Masjid Baitul Maqdis. Allah telah memperlihatkan masjid itu kepada Nabi, maka mudahlah baginda menjawab segala pertanyaan. Mereka juga meminta lain-lain pembuktian dan Nabi s.a.w. menerangkan mengenai satu kabilah dalam perjalanan yang telah kehilangan seekor unta tetapi ditemui semula. Nabi memberi salam kepada ketua kumpulan itu dan apa yang mereka bawa. Iringan unta-unta itu akan sampai pada hari itu.
Akhirnya rombongan itu sampai dan mereka bertanyakan bagi membenarkan cerita Nabi, malahan ketua kumpulan itu masih mengenali suara baginda.
Sungguhpun cukup bukti dan dibenarkan, namun mereka masih menganggap kejadian itu sihir belaka. Kerana ditanya maka baginda menceritakan apa sebenarnya yang dilihat dan terpulang pada mereka untuk mempercayainya. Peristiwa Israk dan Mikraj sebaliknya telah memperkukuhkan tekad Nabi s.a.w.
Perintah solat telah datang dan umat Islam melakukan dengan bersungguh-sungguh dan tertib. Manakala itu suasana di Mekah bertambah kritis dan pihak Quraisy kini sudah memutuskan hendak membunuh Rasulullah s.a.w. Akhirnya perintah Allah datang menyuruh Nabi berhijrah.
(petikan cerita daripada buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW)
(penulis : Nawawi Dusuki)